Isnin, 12 Mei 2014

Jihan Raja Lawak Sedang Hangat Bercinta ?


"SAYA dan dia masih lagi berkawan. Kami sekadar teman rapat. Malah tiada apa-apa ikatan pun di antara kami sebenarnya.

"Ikatan seperti teman wanita atau tunang hanya akan terjadi setelah persahabatan kami diketahui oleh keluarga saya," tegas Ku Hariz atau nama sebenarnya Ungku Hariz Faizal Ungku Mohamed Fadli mengenai hubungannya dengan pelawak terkenal, Jihan Muse.

Jelas aktor berusia 29 tahun itu lagi, hubungan mereka hanya akan disahkan setelah dia mendapat restu daripada keluarganya.

"Saya ada berhasrat untuk membawa dia bertemu dengan keluarga. Namun, disebabkan kekangan masa, perkara itu masih belum dapat dilakukan," katanya.

Tidak cukup dengan itu, dek status teman tapi mesra itu juga, Ku Hariz didakwa telah menumpang populariti yang dimiliki Jihan.

"Saya tidak menyalahkan sesiapa dalam hal ini malah, saya akui dia lebih terkenal daripada saya sekali gus saya juga terkena tempiasnya.

"Tetapi, saya tidak mahu meletakkan diri saya untuk dilihat sebegitu. Biarlah saya berusaha sendiri dan semua ini bergantung kepada rezeki masing-masing," katanya.

Ketika ditanya, adakah wujudnya persaingan antaranya dengan Jihan dari segi soal kerjaya, Ku Hariz memberitahu:

"Perjuangan kami adalah sama, iaitu mahu mengetengahkan bakat dan kebolehan. Tetapi, kami tidaklah bersaing di antara satu sama lain, lebih-lebih lagi apabila dia adalah perempuan dan membawakan genre lain.

Biarpun kurang dikenali, Ku Hariz tidak kecewa dengan situasi demikian kerana menganggap perkara itu dapat menjadikannya aktor yang lebih baik.

"Ini adalah cabaran bagi saya dalam menjadi seorang aktor yang lebih baik.

"Malah, ada tawaran yang bayarannya tidak berapa besar daripada TV, tetapi saya terima demi membesarkan bakat, lebih-lebih lagi, bidang ini adalah yang paling saya minat," katanya.

Dalam perkembangan lain, bekas peserta Pilih Kasih musim kedua ini dipilih sebagai teraju utama dalam pementasan arahan Raja Azrey Raja Kamaruzzaman, teater monodrama Legenda Datuk Dol Said yang bakal dipentaskan di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka pada 15 hingga 18 Mei ini.

"Terlibat dalam teater ini, umpamanya mencabar diri kerana monodrama adalah salah satu peringkat tertinggi bagi seseorang aktor.

"Apa yang lebih mencabar apabila waktu latihan juga terlalu singkat.

"Kebiasaannya, saya akan menjalani latihan sekurang-kurangnya tiga bulan untuk pementasan lain.

"Alhamdulillah, pengarah banyak membantu saya dari segi menghafal skrip dan sebagainya," katanya yang dari kumpulan pentas Sanggar Teater Fauziah Nawi (Stefani).

Ku Hariz turut tampil dalam drama bersiri Jodoh 2 selain baru saja tamat penggambaran bagi telemovie tribute untuk Allahyarham Tan Sri P Ramlee berjudul Seteguk Kasih Bonda arahan Osman Ali.


Catat Ulasan

Terima kasih atas komen anda .

 
KONTROBASI © 2015 - Designed by Templateism.com | Distributed By Blogger Templates