SIARAN SEGERA
Kuala Lumpur – Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) ingin memaklumkan status terkini Pelan Catuan Bekalan Air kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) yang sedang dilaksanakan oleh SYABAS di dalam dua peringkat iaitu Peringkat Pertama di tiga (3) wilayah iaitu Hulu Langat, Sepang dan Kuala Langat dan Peringkat Kedua di enam (6) wilayah iaitu Gombak, Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Hulu Selangor dan Kuala Selangor.
Untuk makluman, Pelan Catuan Bekalan Air Peringkat Pertama dilaksanakan ekoran penutupan Loji Rawatan Air (LRA) Cheras Batu 11 dan LRA Bukit Tampoi disebabkan peningkatan kandungan ammonia di dalam Sungai Langat. Sementara itu Pelan Catuan Bekalan Air Peringkat Kedua pula dilaksanakan ekoran pengurangan pelepasan air mentah sebanyak 200 Juta Liter Sehari (JLH) dari empangan Sungai Selangor dan menghadkan pengambilan air mentah dari empangan Klang Gates dengan pengurangan pelepasan air mentah sebanyak 30 JLH oleh loji-loji rawatan air berkaitan atas arahan Kerajaan Negeri Selangor.
Bagi Pelan Catuan Bekalan Air Peringkat Pertama yang melibatkan 71 kawasan dengan 60,185 pintu rumah, ianya telah memasuki hari ke enam (6) dan pusingan kedua catuan 2 hari ada air dan 2 hari tiada air sejak ianya bermula pada 27 Februari 2014. Sementara itu, Pelan Catuan Bekalan Air Peringkat Kedua yang melibatkan 260 kawasan dengan 413,617 pintu rumah telah memasuki hari ketiga sejak ianya dilaksanakan pada 2 Mac 2014 yang lalu. Dalam perlaksanaan kedua-dua peringkat Pelan Catuan Bekalan Air ini pihak SYABAS telah mengoperasikan sebanyak 275 injap yang terpaksa ditutup dan dibuka mulai jam 9 pagi hingga 11 pagi dengan menggunakan sebanyak 231 tenaga pekerja SYABAS. Sehingga kenyataan ini dikeluarkan, perlaksanaan kedua-dua pelan tersebut berjalan dengan lancar sepertimana yang dirancangkan.
Adalah dimaklumkan sekali lagi, dalam kawasan yang dicatu pihak SYABAS tidak akan menghantar bekalan air melalui lori tangki kecuali bagi pengguna-pengguna kritikal atau situasi yang amat memerlukan seperti upacara kematian, kenduri, pusat dialysis, hospital (kerajaan/swasta) dan rumah kebajikan. Sehubungan itu, para pengguna di kawasan yang terlibat dengan catuan bekalan air disarankan untuk berjimat-cermat dalam menggunakan air, menghadkan kegunaan untuk keperluan utama sahaja, mengelakkan pembaziran dan penggunaan kurang kritikal seperti mencuci kenderaan, mencuci premis kediaman, mengisi kolam renang dan menyiram tanaman hiasan. Justeru itu, kerjasama dari para pengguna adalah diharapkan sama-sama merealisasikan amalan ini termasuk ingat memperingatkan antara satu sama lain dan antara jiran tetangga.
Para pengguna juga ditegah dari melakukan aktiviti terlarang dan menyalahi undang-undang semata-mata untuk mendapatkan bekalan air seperti merosakan sistem paip agihan kerana ianya akan menyebabkan pembaziran dan lebih banyak kehilangan/kekurangan bekalan air dan menyebabkan masalah kekurangan bekalan air bertambah teruk. Perbuatan sebegini adalah satu kesalahan di bawah Akta Industri Pembekalan Air 2006 dan boleh dikenakan penalti yang tinggi.
Berhubung dengan maklumat dan infomasi berkaitan Pelan Catuan Bekalan Air berkaitan dengan kawasan terlibat dan jadual catuan, para pengguna disaran dan digalakkan melayari laman web SYABAS (www.syabas.com.my) mendapatkan maklumat tersebut. Dengan kerjasama dari para pengguna ianya akan dapat membantu mengurangkan kesesakan talian Pusat Panggilan SYABAS (PUSPEL) yang kini sedang berhadapan dengan kemasukan jumlah panggilan yang melampaui kapasiti hariannya.
PRISCILLA ALFRED
Penolong Pengurus Besar,
Jabatan Komunikasi Korporat & Hal Ehwal Awam
Catat Ulasan
Terima kasih atas komen anda .